Friday, 28 September 2012

Sejarah Beaufort


Tapak pekan Beaufort telah dipilih oleh Encik William Clake Cowie, seorang Pagawai Syarikat Borneo Utara British yang juga selaku Pengarah Urusan Syarikat itu pada bulan Januari 1898. Tapak yang sebenarnya tidak didiami itu telah di buka khasnya kerana keperluan untuk mendirikan sebuah perhentian keretapi berdekatan dengan teluk Brunei. Beaufort dinamakan sedemikian untuk memperingati seorang Gabenor bernama Leicester P. Beaufort yang telah mentadbir Sabah diantara tahun 1896 hingga 1900.

Beaufort didirikan di kawasan yang rendah berdekatan dengan Sungai Padas. Oleh itu, pekan Beaufort selalu mengalami banjir apabila Sungai Padas melimpah tebingnya. Pada zaman awal penubuhannya, Kerajaan sentiasa mengalami kerosakan yang diakibatkan oleh air banjir yang menghanyutkan bangunan-bangunan kerajaan dan kedai yang dibina. Walaupun demikian usaha tidak dijalankan untuk memindahkan pekan ke tapak yang lebih selamat. Kerajaan Syarikat di sebaliknya telah menggalakkan pembinaan bangunan-bangunan yang tinggi supaya tidak di tenggelami air banjir.

Pekan Beaufort berkembang sebelah menyebelah Sungai Padas. Oleh itu, ia terbahagi kepada dua bahagian yang masing-masing mempunyai Stesyen Keretapi, rumah-rumah kediaman pegawai-pegawai kerajaan dan bangunan-bangunan kedai. Bahagian Beaufort barat menguruskan Stesyen keretapi yang menuju ke Bukau dan Weston manakala bahagian Beaufort timur terletak dikawasan landasan yang menghubungkan Kota Kinabalu [ Jesselton ] dengan Tenom.

Beaufort juga dijadikan Stesyen pentadbiran Kerajaan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British. Seorang Pegawai Daerah telah ditugaskan untuk mengurus Pentadbiran Beaufort dan kawasan-kawasan yang berhampiranya termasuk Kuala Penyu, Membakut, Menumbok dan Klias.

Pertanian menjadi tulang belakang perkembangan Beaufort. Aktiviti pertanian seperti penanaman sago telah diusahakan oleh penduduk-penduduk tempatan dan juga pengusaha Eropah. Galakan juga telah diberi untuk tanaman komersil lain seperti pisang lanut. Percubaan telah dibuat pada tahun 1898 oleh sebuah Syarikat bernama Ramie Fibre Company untuk menanamnya di Beaufort tetapi usaha ini gagal. Pada awal abad ke 20, penanaman sago telah di ketepikan oleh ladang-ladang sago seperti Ladang Woodford telah menumpukan perhatian kepada getah yang pada masa itu sedang mendatangkan pendapatan yang amat lumayan kepada para pengusahanya. Kemajuan dalam industri getah pada zaman itu telah menyumbang kepada perkembangan bandar Beaufort sehingga ia lebih di kenali sebagai “ Bandar Getah ”. Ini berlaku kerana kebanyakan ladang-ladang getah telah di buka dipersekitaran kawasan Beaufort dan Stesyen Keretapinya sibuk menguruskan bahan-bahan yang berkaitan dengan industri getah.

Beaufort seperti juga bandar-bandar lain di Sabah, telah dimusnahkan semasa Perang Dunia Kedua akibat pengeboman yang dilakukan oleh askar-askar Australia semasa pembebasan Sabah daripada pemerintahan tentera Jepun. Pemusnahan ini memberi peluang lagi kepada kerajaan penjajah untuk mendirikan pekan yang baru di kawasan lebih kurang setengah batu daripada tapak asal yang lebih selamat daripada banjir. Walaupun demaikian, pembangunan semula selepas perang masih lagi diadakan di atas tapak yang lama dan sehingga sekarang, bandar Beaufort masih lagi mempunyai bangunan-bangunan yang di naikan beberapa meter daripada paras jalanraya.

Beaufort merupakan bandar tunggal yang menjalankan urusan harian secara biasa walaupun ia di landa banjir, hanya rakit atau sampan sahaja mengambil tempat kenderaan jalanraya yang biasa. Semasa zaman penjajahan, ada andaian bahawa kriteria terpenting dalam pemilihan Pegawai Daerah bagi Beaufort ialah kecekapan seseorang pegawai itu untuk berenang.

Majlis Daerah Luar Bandar Beaufort telah ditubuhkan pada tahun 1958 dibawah Ordinan kerajaan Tempatan [ Bahagian 132 ] 1951. Majlis ini di tubuhkan untuk mengawal hal-hal berkaitan dengan kewangan, penggubalan undang-undang kecil khas untuk Beaufort sahaja dan kerja-kerja am seperti pembangunan daerah dan pengawalan kesihatan bandar. Penubuhan Majlis ini telah menyumbang kepada kecekapan dalam menjalankan pentadbiran daerah Beaufort.

Sejarah Pengkap Dunia

Pada 22 Februari 1857, seorang bayi telah dilahirkan di sebuah rumah berhampiran Hyde Park, London. Bayi itu dinamakan Robert Stephenson Smyth Baden Powell. Bapanya bernama Reverend H.G. Baden Powell, iaitu seorang maha guru di Universiti Oxford. Ibunya ialah anak seorang Laksamana British bernama W.T. Smyth. Beliau mempunyai tujuh orang adik-beradik. Pada usia tiga tahun, bapanya meninggal dunia dan tinggallah beliau dalam pemeliharaan ibunya. Beliau sangat gemar kepada penghidupan di luar rumah. Beliau terkenal dengan nama ringkas BP. BP amat sayang kepada kanak-kanak

BP ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam Pasukan Askar Hussar ke-13 dan ditempatkan di India pada tahun 1876 dan kemudian mendapat pangkat Ketua Inspektor pada tahun 1903.Dalam satu serangan terhadap Mafeking pada tahun 1899, BP merancang membawa pesanan-pesanan dan menggantikan askar-askar di medan perang dengan kanak kanak yang tinggal di bandar yang diserang itu.

Kepantasan dan kecekapan kanak kanak ini meninggalkan kesan yang amat dalam pada hati BP dan pada tahun 1907, ketika pulang ke England, beliau telah menganjurkan suatu perkhemahan percubaan di Pulau Brownsea bagi kanak-kanak lelaki.Melalui kejayaan perkhemahan di Pulau Brownsea itu, pada tahun 1908, BP telah mengarang sebuah buku bernama Scouting For Boys.BP menanam semangat taat kepada Tuhan, Raja dan Negara. Kejayaan ini tidak dapat ditandingi oleh teman-teman yang sezaman dengannya. Inti daripada pusaka yang ditinggalkannya ialah adunan teratur bagi kecekapan dan tatatertib yang mengembangkan dasar dasar asas seorang manusia.

Dalam Jambori Pengakap Sedunia Pertama di Olympia, BP telah dilantik menjadi Pengakap Agung bagi seluruh dunia.Pada tahun 1937, sewaktu berumur 80 tahun, BP bersama-sama isterinya. Lady Baden Powell, seorang yang telah bersungguh-sungguh membantu BP dalam segala kerja mengembangkan pergerakan pengakap, dengan disertai oleh anak-anaknya, meninggalkan Bandar Raya London menuju Kenya di Afrika dan bermastautin di sebuah kampung yang aman dengan pemandangan yang indah, hutan yang menghijau, kemuncak gunung yang diselaputi oleh saiji; di situlah BP berehat setelah lama berbakti kepada dunia.Buku Scouting For Boys dijadikan panduan untuk semua pengakap dunia. Ramai yang telah menerima ideanya kerana ini terbukti dengan perkembangan pergerakan ini ke serata dunia kecuali negara-negara komunis.Pergerakan pengakap telah memberi peluang kepada muda mudi mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti dan telah menunjukkan kecekapan dalam berbagai perkara yang diuji.

Pada mulanya masyarakat menganggap perkhemahan sebagai sesuatu yang janggal, tetapi Lord Baden Powell telah menyangkal perkara ini sehinggalah kini perkhemahan bukan sahaja popular di kalangan pengakap malah di kalangan masyarakat biasa.Lord Baden Powell telah menerima banyak anugerah scperti 'Baron’ dan telah menjadi Ketua Pengakap Dunia. Pada tahun 1937, beliau menerima Order of Merit. Beliau telah meneruskan usaha dalam lapangan ini sehingga berumur 80 tahun.Beliau kemudiannya melancong ke serata pelosok dunia untuk menyaksikan sendiri kegiatan pengakap dan pandu puteri.

Seumur hidupnya, BP telah berusaha mewujudkan kegembiraan kepada orang lain melalui pergerakan pengakap.Oleh yang demikian, adalah menjadi kerugian besar bagi semua orang khususnya pengakap apabila pada 8 Januari 1941 BP meninggal dunia. Mendiang dikebumikan dengan penuh kchormatan di bawah bayang-bayang kelembutan Gunung Kenya.

Kata-kata akhirnya kepada kita semua di dalam pergerakan ini ialah :TUHAN MEMIMPIN DAN MEMBANTUMU DI DALAM KERJA-KERJAMU.







                                     Sekali Pengakap,Terus Pengakap...